Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”. Padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka tidak perdayakan melainkan diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit kepada mereka dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih sebab mereka telah berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab: “Kami tidak lain melainkan orang yang membuat kebaikan”. Ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Berimanlah sebagaimana orang yang telah beriman”. Mereka berkata, “Apakah harus kami beriman seperti orang-orang bodoh itu beriman?” Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak ketahui. Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman mereka berkata, “Kami telah beriman”. Apabila bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, “Kami beserta kamu. Kami tidak lain melainkan memperolok-olokkan (orang yang beriman)”. ( Ayat 8-14 : Surah al-Baqarah )Yang tuli, yang bisu, yang buta. Lantaran itu mereka tidak akan kembali. ( Ayat 18 : Surah al-Baqarah )
Orang munafik sangat berbeza daripada orang kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan tidak beriman baik secara terang atau pun secara bersembunyi. Ancaman azab neraka dan pujukan nikmat syurga tidak menarik orang kafir kepada iman. Orang munafik pula mengucap dua Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan tidak keberatan menyertai amalan ibadat bersama-sama orang Islam yang lain, tetapi ucapan dan ibadat yang dilakukan itu tidak berbekas pada hati mereka. Mulut mereka mengatakan beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat tetapi hati mereka kufur. Mereka adalah orang yang Islam pada zahir tetapi kafir pada hati. Perbuatan zahir mereka sesuai dengan perbuatan orang yang beriman kerana mereka mahu menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Ada kepentingan diri yang mereka mahu jaga.
Puak munafik tidak mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain, yang tergolong dalam kalangan bangsa Arab yang mereka pandang lebih rendah daripada mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka mahu agar baginda s.a.w mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga tidak mempunyai perasaan hormat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana mereka menganggapkan Nabi Muhammad s.a.w, maka mereka tidak menerima kedudukan wahyu sebagai Kalam Allah s.w.t. Mereka menganggap wahyu hanyalah perkataan Nabi Muhammad s.a.w yang sama dengan perkataan orang lain yang boleh dihujah dan ditolak. Puak munafik, dengan kerjasama kaum Yahudi, sangat aktif di dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

No comments:
Post a Comment